Sunday 13 January 2013

Pengenalan Gerak Kerja Kokurikulum Sekolah Rendah

1.0 KONSEP KOKURIKULUM

Kokurikulum ialah aktiviti pendidikan yang dirancang dan diperlaksanakan selepas waktu pelajaran formal di dalam dan di luar bilik darjah, berasas dan lanjutan pelajaran sesi persekolahan. Menurut Peraturan Kursus Pengajian, Akta Pelajaran 1956, kokurikulum adalah extra curriculum atau ‘kegiatan luar darjah’. Dalam pada itu, Peraturan-peraturan Kokurikulum Kebangsaan di bawah Warta Kerajaan, Akta Pendidikan 1995 yang bertarikh 31.12.1997 pula menyifatkan kokurikulum sebagai “kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang memberikan pelajar peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari dalam bilik darjah”.

Kokurikulum juga dikenali sebagai kurikulum tambahan (extra-curriculum) atau pendidikan untuk waktu lapang (education for leisure) atau aktiviti kelas tambahan (extra-class activities). Aktiviti-aktiviti kokurikulum sebahagian besarnya dilakukan di luar bilik darjah. Ia merupakan aktiviti amali sebagai lanjutan kepada mata pelajaran di dalam bilik darjah, iaitu sebahagian daripada kurikulum formal yang merangkumi aktiviti-aktiviti persatuan, kelab, permainan dan sukan, serta unit beruniform yang dijalankan sebelum atau selepas waktu persekolahan.



Proses pembelajaran dan pengajaran dalam aktiviti kokurikulum lebih banyak dilaksanakan secara tidak langsung, di mana ia menekankan perkara dan aspek yang tersembunyi seperti nilai, bakat, peranan, kepimpinan, sosial dan sebagainya. Pada tahun 60-an dan 70-an, masyarakat dan pendidik menganggap kokurikulum sebagai tempelan sahaja, sebagai sesuatu yang berasingan, tambahan dan tidak begitu penting dalam perkembangan dan proses pengajaran serta pembelajaran pelajar di sekolah. Walau bagaimanapun, pendapat itu telah berubah dan kini kokurikulum telah diterima. sebagai sebahagian daripada kurikulum sekolah.

Sebenarnya, aktiviti-aktiviti kokurikulum dapat mengukuhkan dan mengayakan pembelajaran pelajar di dalam kelas. Ini kerana kokurikulum mengutamakan pembelajaran melalui amalan di mana pengetahuan yang diperoleh di bilik darjah diamalkan melalui aktiviti praktik, samada latihan sukan, persatuan atau unit beruniform. Oleh yang demikian, aktiviti kokurikulum sebenarnya berperanan membentuk dimensi-dimensi sosial, di samping sifat-sifat dan kualiti kognitif, afektif serta psiko-motor.
Wednesday 9 January 2013

Dasar 1 Murid 1Sukan (1M 1S)

Dasar 1 Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan.
Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan ke semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia.